SHAH ALAM – Penyanyi Bella Astillah nekad ingin terus memperbaiki segala kelemahan diri terutama kualiti nyanyiannya yang masih dikecam ramai dalam media sosial ketika ini.
Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, dia tidak pernah terasa hati dengan segala kecaman tersebut kerana berasakan semua pihak mempunyai pandangan sendiri.
“Saya faham sahaja situasi itu dan tak boleh hendak marah kerana masing-masing mempunyai pendapat sendiri.
“Apa sahaja komen atau kecaman netizen, semua itu akan menjadikan saya lebih baik selepas ini.
“Jadi, selepas ini saya akan kongsi semua, ada pergi kelas vokal Cikgu Shafi. Buat masa ini, saya terima sahaja semua dengan berlapang dada,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Tambah Bella, segala kecaman tersebut diambil dari sudut positif selain menanam azam untuk mengatasi segala kelemahan diri.
“Macam saya pernah cakap, banyak lagi kelemahan dan kekurangan diri yang perlu diperbaiki, semua itu untuk kebaikan saya juga.
“Jadi, saya berterima kasih kerana masih mengambil tahu dan ambil berat mengenai saya supaya tidak dikecam dengan lebih teruk.
“Kata-kata yang diberikan netizen itu semua membina semangat saya untuk jadi lebih baik selepas ini,” tuturnya.
Dalam masa sama, bintang drama Aku Tanpa Cintamu itu mengakui terharu kerana masih ada pihak yang memuji usahanya dalam melakukan pelbagai kerja dan mencari rezeki demi menyara keluarganya.
“Terima kasih kepada yang beri komen positif itu. Sejujurnya apa sahaja kerja yang saya lakukan sekarang, selagi mampu dan terdaya, saya akan buat sebab untuk rezeki anak-anak.
“Saya anak sulung dan ada dua orang anak, apa sahaja rezeki yang ada, tidak kisah persembahan, lakonan atau promosi produk, semua saya akan terima sebab itu semua sumber rezeki untuk anak-anak.
“Saya tak pernah rasa terbeban dengan semua ini sebab ini semua takdir yang Tuhan telah tetapkan. Apa sahaja rezeki yang mendatang selepas ini, saya sentiasa bersyukur dan alhamdulillah,” ujarnya.
Sejak akhir-akhir ini, nama Bella menjadi sebutan hangat dalam media sosial selepas tular video nyanyiannya yang dikatakan masih belum mencapai tahap boleh bergelar seorang penyanyi. – KOSMO! ONLINE