fbpx

Nahas lima maut: Farhana selalu elak bercuti ke Cameron Highlands sebelum ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasmah (tengah) menyiram air mawar ke pusara empat ahli keluarganya yang maut dalam nahas di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Seorang wanita warga emas tidak menyangka percutian keluarga ke Cameron Highlands, Pahang yang baru dirancang Rabu lalu membawa duka apabila dia kehilangan empat ahli keluarganya sekaligus dalam nahas di Gua Musang, Kelantan semalam.

Hasmah Abu Bakar,63, yang turut serta dalam percutian tersebut tergamam kehilangan dua anak perempuan dan masing-masing seorang menantu dan cucu akibat tragedi berkenaan.

“Percutian keluarga ke Cameron Highlands itu idea arwah anak ketiga saya (Shazwani Ismail, 39) dan disuarakan secara spontan pada Rabu lalu.

“Saya masih ingat kata-kata Wani, katanya kalau rancang (bercuti) awal-awal takut tidak jadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu di sini hari ini.

Terdahulu dia menyaksikan majlis pengebumian anak ketiganya, Shazwani bersama suami dan anak sulung iaitu, Mohd. Junaizi Jusoh,48; dan Muhammad Fakrul Danish 18; serta anak kelimanya, Farhana.

Keempat-empat mangsa maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki yang dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands, Pahang dirempuh sebuah lori membawa muatan batu di jalan raya di Kilometer 86, Jalan Gua Musang -Lojing, Gua Musang pada pukul 11.57 pagi semalam.

Hasmah berkata, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk mengikuti percutian tersebut tetapi akhirnya akur apabila dipujuk bersungguh-sungguh oleh Farhana.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, kesungguhan Farhana itu agak pelik kerana anak kelimanya tersebut sebelum ini kurang berminat mengunjungi Cameron Highlands.

“Dia (Farhana) selalu mengelak mengikut ajakan ke Cameron Highlands dengan alasan sudah kerap bercuti di pusat peranginan itu sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI