KUCHING – Dua layangan kad merah mewarnai kejayaan 3-1 Kuching City ke atas Kuala Lumpur City di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Bintang import tuan rumah, Petrus Shitembi dilihat menjadi pemain paling cemerlang buat Kuching City selepas terbabit dalam kesemua tiga jaringan yang terhasil.
Terdahulu, KL City terima kejutan seawal minit pertama apabila pertahanannya, Giancarlo Gallifuoco tertampan bola ke gawang sendiri sekaligus memberikan permulaan positif buat tuan rumah.
Ketika aksi babak pertama seakan berakhir 1-0, Kuching City sekali lagi cipta kejutan dan kali ini giliran Shitembi mencipta nama selaku penjaring gol pada masa kecederaan.
KL City yang melepaskan dua peluang terbaik mendapat semangat baharu apabila minit ke-60 ‘kereta kebal’ Kuching City, James Okwuosa dilayangkan kad merah selepas dikesan menyiku Brendan Gan dalam kotak penalti.
Kapten KL City, Paulo Josue yang diamanahkan untuk mengambil sepakan penalti pada minit ke-62 itu tenang untuk meledak gol pertama pasukannya.
Selang lima minit selepas itu, giliran Kuching City dihadiahkan sepakan penalti dan ia berjaya disempurnakan oleh Tchetche Kipre.
Bagaimanapun, pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada minit ke-77 menyaksikan pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal terpaksa mengeluarkan kad merah kedua perlawanan, kali ini kepada Kipre kerana melakukan terjahan keras kepada penjaga gol lawan, Azri Ghani. – KOSMO! ONLINE