MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengkritik cara pasukannya bertahan ketika mereka bolos gol penyamaan Fenerbahce menerusi Youssef En-Nesyri sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Liga Europa awal pagi semalam.
United memulakan aksi tersebut dengan langkah kanan selepas meledak gol pembukaan menerusi Christian Eriksen pada minit ke-15 sebelum En-Nesyri menjaringkan gol penyamaan selepas empat minit babak kedua bermula.
Penyerang Fenerbahce tersebut menyambut bola hantaran lintang rakan sepasukan dan dengan mudah menanduk masuk bola menewaskan Andre Onana apabila tidak ada pemain United yang melompat untuk mencabar bola berkenaan.
“Ia perlawanan yang baik. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cemerlang dan cuba untuk memenangi perlawanan. Kami mahu memenanginya dan apabila kami mendahului 1-0, perlawanan menjadi bertambah sukar.
“Kami mempunyai peluang untuk meledak gol kedua dan kemudian kami bolos dengan jaringan seperti itu. Ia sangat mengecewakan kerana gol tersebut sepatutnya tidak berlaku. Ia menerusi hantaran lintang mudah yang boleh dihalang,” katanya.
Ten Hag turut menjelaskan mengenai keputusannya membawa masuk Antony pada minit ke-73 menggantikan Marcus Rashford ketika United sedang memburu gol kemenangan sekali gus menyaksikan Amad Diallo terpaksa memanaskan bangku simpanan lagi.
“Amad berlatih dengan baik, tetapi saya mesti memberi penghargaan kepada Antony yang memberikan aksi luar biasa ketika sesi latihan menyebabkan saya membuat keputusan untuk memberinya peluang,” jelasnya.
Bagaimanapun, Antony hanya sempat beraksi selama 16 minit apabila terpaksa diusung keluar akibat mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan tongkat meninggalkan stadium. – AGENSI