PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang disyaki didera oleh ibu dan bapanya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, kanak-kanak berkenaan telah dibawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor ke hospital tersebut untuk pemeriksaan lanjut dengan pihak polis sedang menjalankan siasatan berkenaan kes ini.
“JKM akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini berdasarkan Seksyen 25 (2)(b), Akta Kanak-kanak 2001.
“KPWKM serius mengambil tindakan segera bagi kes-kes yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kementerian juga akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.
Ini termasuk memastikan tindakan tegas di ambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.
Baru-baru ini tular di aplikasi Instagram berhubung hantaran yang dimuat naik seorang pemilik akaun dikenali sebagai iesya.toh yang memohon agar orang ramai membantu kanak-kanak berkenaan didakwa didera oleh ibu bapanya.
“Mohon orang ramai bantu anak kecil ini, jiran dah tak sanggup dengar anak dipukul hari-hari sampai lebam mata,” kata hantaran itu. – KOSMO! ONLINE