TUMPAT – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk mewajibkan penjaja mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sekiranya mahu memohon lesen perniagaan.
Pengarahnya, Nora Yaakob berkata, perbincangan berhubung perkara itu sudah dijalankan dan Perkeso Kelantan sedang mengenal pasti jumlah penjaja di negeri ini.
Menurutnya, Perkeso meletakkan syarat wajib supaya penjaja dilindungi jika berlaku kemalangan di tempat kerja.
“Jika mahu lesen PBT, penjaja wajib mencarum SKSPS. Kita sedang mengenal pasti penjaja di negeri ini untuk diberi penerangan.
“Caruman hanya serendah RM23.30 setahun. Jadi, manfaatkan peluang disediakan kerajaan yang membiayai caruman sebanyak 90 peratus iaitu RM209.50 setahun menerusi SKSPS,” katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Mesra Perkeso Bersama Media Kelantan di Pulau Sri Tanjung di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nora memberitahu, setakat ini seramai 10,300 daripada jumlah keseluruhan 170,000 individu yang bekerja sendiri sudah mencarum Perkeso.
Nora berkata, Perkeso menyasarkan kira-kira 10,000 orang yang bekerja sendiri mencarum SKSPS setiap tahun. – KOSMO! ONLINE