TEL AVIV – Israel melancarkan serangan ke atas Iran awal pagi ini sebagai membalas serangan peluru berpandu Tehran pada 1 Oktober lalu, lapor portal berita Al-Monitor.
Menurut pihak berkuasa Israel, serangan itu mengenai sasaran tentera Iran ketika kira-kira lima letupan dilaporkan kedengaran di negara itu.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, Israel kini menyerang dengan sasaran ketenteraan di Iran.
Menurutnya, serangan oleh Iran terhadap Israel sebagai punca serangan itu dilancarkan.
“Tentera Israel bersedia sepenuhnya untuk situasi ofensif dan dan bertahan,” kata Hagari.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden diberitahu lebih awal mengenai serangan itu, lapor agensi berita rasmi Israel, KAN.
Sejumlah jet Israel mengenai sasaran di Tehran, Mashhad dan Karaj, di mana letupan telah dilaporkan berlaku.
Serangan bermula sekitar 2.30 pagi (waktu tempatan).
Mashhad ialah kampung halaman Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei.
Karaj, sebuah bandar di sebelah barat Tehran, adalah lokasi pusat penyelidikan nuklear.
Israel telah berikrar membalas serangan peluru berpandu balistik Iran pada 1 Oktober lalu.
Iran menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dan komander Pasukan Pengawal Revolusi Islam, Abbas Nilforoushan pada 27 September lepas. – AGENSI