JOHOR BAHRU – Pasukan Great Britain mempamer kebangkitan daripada ketinggalan dua gol untuk muncul juara pada aksi epik final Kejohanan Hoki Antarabangsa bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 edisi ke-12 selepas menewaskan Australia 3-2 di Stadium Hoki Johor, di sini hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Great Britain melebarkan rekod kemenangan SOJC kepada empat kali setelah memenanginya pada tahun 2015, 2018 dan 2019.
Australia memperoleh gol pembukaan pada minit ke-10 menerusi gol padang Daykin Stanger sebelum menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Dylan Downey menewaskan penjaga gol, Calum Douglas.
Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila juara tiga kali SOJC merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Kaden Dreysey sebelum memperoleh gol penyamaan menerusi gol padang Alex Chihota pada minit ke-40.
Pada minit ke-51, Rory Penrose meletakkan Great Britain di hadapan setelah menyudahkan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol, Magnus Mccausland, manakala penjaga gol gantian, James Carleton muncul penyelamat Great Britain apabila menyelamatkan dua pukulan sudut penalti pada minit akhir permainan. – KOSMO! ONLINE