MANILA – Pasukan penyelamat di utara Filipina bertungkus lumus untuk sampai kepada penduduk yang masih terkandas di kawasan banjir akibat Ribut Tropika Trami dengan hampir 500,000 orang hilang tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 87 terkorban.
Beberapa pegawai berkata, ramai penduduk di rantau Bicol yang terjejas teruk, terus menunggu bantuan selepas terkandas di atas bumbuang dan tingkat atas kediaman mereka.
“Banjir masih belum surut. Panggilan telefon meminta bantuan tidak henti-henti kedengaran.
“Kami perlu menyelamatkan mereka seberapa segera kerana kebuluran akan membawa masalah. Kami menerima laporan bahawa sudah ada kanak-kanak yang jatuh sakit,” kata ketua polis serantau, Andre Dizon kepada AFP.
Polis merekodkan 31 kematian di Bicol, kebanyakannya akibat lemas.
“Angka korban di satu lagi kawasan teruk terjejas iaitu Bantangas kekal 51 orang,” kata ketua polis wilayah, Jacinto Malinao semalam sambil menambah, sekurang-kurangnya 22 orang hilang.
Lima lagi kematian disahkan di beberapa wilayah lain, menjadikan korban keseluruhan berjumlah 87 orang, demikian menurut angka AFP berdasarkan sumber rasmi polis dan agensi pengurusan bencana.
Di Batangas yang mengambil masa pemanduan dua jam dari Manila, pasukan penyelamat menggunakan jentera pengorek dan penyodok bagi menggali lumpur setinggi 3 meter untuk mencari penduduk yang tertimbus dalam tanah runtuh.
Agensi Bencana Nasional melaporkan, kira-kira 495,000 orang hilang tempat tinggal akibat banjir kali ini yang menenggelamkan beratus-ratus buah kampung di utara Filipina.
Kira-kira 20 ribut kuat dan taufan membadai Filipina dan perairan sekitarnya pada setiap tahun. – AFP