fbpx

Zaitun perintis industri halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk ubat gigi Zaitun berkualiti tinggi semakin menambat hati pelanggan untuk terus setia menggunakannya.

PETALING JAYA – Zaitun Industry Sdn. Bhd. (Zaitun) yang menjadi perintis kepada produk berstatus halal yang diperluaskan kepada produk penjagaan kecantikan dan kebersihan telah membuka jalan kepada kemunculan beberapa jenama terkemuka lain di pasaran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Teh berkata, selepas era kejayaan syarikat yang memper­kenalkan jenama Zaitun, ia juga telah membuka peluang kepada pertumbuhan industri halal secara berfasa pada tahun 1980andan meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang pentingnya menggunakan barangan halal dalam aktiviti kehidupan mereka.

Kini dengan mengekalkan tagline gunakan ‘tanpa was-was’, beliau akan meneruskan legasi perniagaan keluarga yang telah dibangunkan oleh bapanya, Datuk Seri Mohd. Kamal Teh dan datuknya, Datuk Seri Mutiara Dr. Eusuff Teh.

“Jika dahulu masyarakat hanya tahu produk halal pada makanan dan minuman sahaja tetapi apabila Zaitun memperkenalkan barisan produknya dalam semua segmen secara berperingkat yang memiliki status halal, ia telah meningkatkan kefahaman pengguna.

“Ketika itu, kami memiliki 200 produk meliputi penjagaan kecantikan, kebersihan seperti barangan pencuci pinggan dan juga air mineral

“Dan apabila Zaitun tutup operasi pada tahun 2003, maka banyak jenama baharu yang mengambil alih tempat kami dan berjaya menguasai pasaran sehingga kini.

“Sehubungan itu dengan misi ter­baharu dengan pelan perancangan termasuk promosi yang lebih agresif di media sosial, kami mahu menakluki pasaran dan mengambil semula tempat kami sebelum ini sebagai pe­neraju dalam produk halal dalam segmen penjagaan diri dan kebersihan,” katanya dalam satu temubual secara online baru-baru ini.

Nizam menerangkan, syarikat bakal memperkenalkan pelbagai produk secara berperingkat sehingga mampu mencecah 200 produk seperti sebelum ini.

Tambah beliau, sasaran awal syarikat adalah untuk menguasai pasaran sehingga 20 peratus.

“Kami akan lancarkan produk secara berperingkat.

“Dalam perniagaan, kita tidak perlu lancarkan produk baharu secara se­rentak sebanyak 200 barangan dalam satu masa.

“Kami akan laksanakan kajian dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk berkualiti yang dapat memenuhi keperluan pelanggan.

“Sebagai contoh jika dulu bedak talkum telah mendapat sambutan baik daripada pe­langgan tetapi sekarang, ia tidak bersesuaian lagi dengan trend semasa.

“Untuk fasa awal, kami per­kenalkan produk ubat gigi dalam beberapa perisa dan seterusnya mandian dan syampu serta deodoran.

“Sekurang-kurangnya kami akan lancarkan antara lima hingga lapan produk lagi pada tahun ini hingga separuh kedua tahun depan,” jelasnya.

Ditanya tentang asal usul jenama Zaitun sama ada ia diambil daripada salah seorang wanita istimewa dalam keluarga, Nizam menerangkan bahawa nama tersebut diperoleh daripada datuknya yang terinspirasi daripada surah At-Tin.

Sehubungan itu, beliau berharap melalui pelan perancangan, pengembangan dan pemasaran agresif khususnya dalam media sosial hampir 20 jam di platform TikTok akan membolehkan misinya untuk menaikkan semula era kegemilangan Zaitun di pasaran semasa kini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI