PETALING JAYA – Kadar upah mengasuh bagi tahun 2025 dikatakan bakal berlaku kenaikan antara RM50 hingga RM100.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai ibu bapa berada dalam dilema sama ada mahu berhenti kerja demi menjaga anak-anak atau terpaksa berdepan bebanan upah mengasuh yang tinggi tahun depan.
“Tahun depan pengasuh kata terpaksa naik harga. Tahun ini pengasuh caj RM550 untuk anak sulong saya masih enam bulan lebih. Katanya tahun depan terpaksa kenakan RM600 sebulan.
“Saya tinggal kawasan Gombak. Berbaloi kah? Atau mahal? Kalau tempat anda macam mana? Atau saya kena berhenti kerja sebagai solusinya,” soalnya ketika meminta pandangan rakan-rakan di Facebook.
Di ruangan komen hantaran wanita terbabit, beberapa ibu bapa lain turut mengakui mereka berdepan situasi sama apabila pengasuh memaklumkan upah mengasuh bagi 2025 berlaku kenaikan bagi menampung kos sara hidup semasa.
Sementara itu, seorang individu dikenali sebagai Ummi memuat naik poster memaparkan kadar upah mengasuh bagi tahun 2025 dan didapati harga tersebut meningkat daripada tahun ini.
Caj mengasuh yang dikenakan kepada pelanggan adalah bermula RM45 sehari bagi kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas.
Setiap upah adalah berbeza mengikut kategori umur dan paling mahal adalah bayi sehingga usia dua tahun iaitu RM850 sekiranya ibu bapa mereka bekerja secara syif seperti doktor, jururawat, pekerja kilang, polis dan sebagainya.
Harga normal bulanan bagi tempoh penghantaran pukul 8 pagi hingga 5 petang adalah RM650 (bayi hingga usia dua tahun), RM550 (dua hingga empat tahun) dan RM450 (kanak-kanak di atas empat tahun).
“Kategori transit antara RM300 hingga RM450 sebulan. Bagi penghantaran hujung minggu, caj dikenakan bermula RM60 hingg RM100 sehari ikut umur,” jelas poster tersebut.
Dalam perkongsian sama, terdpaat caj tambahan sekiranya anak-anak perlu bermalam di rumah pengasuh, iaitu antara RM70 hingga RM120 semalam.
Pada ruangan komen perkongsian tersebut, ramai yang terkejut melihat kadar upah baharu bagi tahun 2025.
“Banyaknya beza, sekarang harga budak bawah dua tahun baru RM550. Tahun depan naik sampai RM650, RM100 juga beza,” kata Nurin.
“Patutlah ramai pasangan bekerja merancang untuk ada anak, kos hantar anak mengasuh habis separuh gaji. Kalau seorang dah RM800, tambah lagi anak-anak lain? Memang terduduk ibu bapa,” luah Atiya Hamdan ketika meneliti harga upah mengasuh bagi tahun 2025 yang dikongsikan individu terbabit. – KOSMO! ONLINE