KLANG – Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri dan anak perempuannya daripada rentung dalam kebakaran di tingkat dua sebuah apartmen di Taman Sentosa awal pagi tadi.
Tiga beranak berusia lapan dan 30an diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.58 pagi.
Katanya, operasi pemadaman dan menyelamat turut melibatkan masing-masing dua buah jentera dan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Api berjaya dipadam sepenuhnya dengan terdapat tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak terperangkap dalam bilik unit kediaman di tingkat dua.
“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat,” katanya hari ini.
Beliau menambah, mangsa mengalami sesak nafas akibat asap tebal dan diberi bantuan oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Ahmad Mukhlis menjelaskan anggaran kemusnahan adalah 20 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya. – KOSMO! ONLINE