fbpx

SOJC: Perlu menang demi maruah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi kuning) perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kelima apabila bertemu Australia malam ini. - RAJA JAAFAR ALI

KETUA jurulatih, I. Vikneswaran tetap menuntut skuad hoki remaja kebangsaan memberikan aksi bertenaga pada aksi terakhir liga sepusingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 menentang Australia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam ini.

Vikneswaran memberitahu, walaupun keputusan itu tidak memberi sebarang makna, namun aksi tersebut memberi pengalaman berharga buat pasukan dalam misi menebus maruah Malaysia.

Katanya, setiap pasukan yang bertanding pada edisi ke-12 kali ini merupakan antara yang terbaik kerana ia turut menjadi medan mempersiapkan diri ke kelayakan Piala Dunia Remaja 2025 bulan depan.

“Ini antara peluang untuk kita menguji kemampuan dan kekuatan Australia sebagai persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia Remaja, jadi setiap perlawanan dalam SOJC penting.

“Sepanjang kejohanan ini, kita bermain mengikut percaturan tertentu dan cuba menambah baik corak permainan selain beradaptasi untuk bermain di bawah tekanan. Sebagaimana kita hendak berjaya dan capai sesuatu, kita kena bersabar,” katanya.

Kekalahan 1-2 kepada Great Britain kelmarin menyaksikan Young Tigers tewas keempat-empat aksi setakat ini dan hanya bermain penentuan tempat kelima dan keenam pada hari penutup kejohanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Australia, Jay Stacy mahu memburu kemenangan ke atas Malaysia bagi mengesahkan tiket ke perlawanan akhir malam esok.

Bagaimanapun, katanya, anak buahnya tidak boleh terlalu yakin mengutip tiga mata kerana skuad Young Tigers mampu mempamerkan kejutan untuk memburu mata pertama mereka.

“SOJC kali ini tampak sengit setelah penentuan pasukan ke final ditentukan pada aksi terakhir antara kami, India, New Zealand dan Britain. Sudah tentu kami idamkan ke pentas akhir walaupun bermula agak perlahan.

“Kami pernah bertemu Malaysia pada latihan di Australia sebelum ini dan tidak dinafikan mereka memiliki barisan pemain yang mampu beri kejutan, kita tak boleh tersilap langkah dan perlu menang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI