ALOR SETAR – Ribut petir menyeluruh yang mengakibatkan banjir kilat dan angin kencang dijangka melanda Kedah sehingga hujung bulan ini ekoran Ribut Tropika Kuat Trami yang membadai Laut China Selatan ketika ini.
Pengarah Meteorologi Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, walaupun tempias taufan tersebut agak lemah ke atas negeri ini, namun ribut petir menyeluruh mengakibatkan seluruh negeri ini kembali hujan bermula hari ini.
“Kedah tidak teruk kesan (Ribut Tropika Kuat Trami), namun kesannya akan mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat.
“Kebiasaannya di kawasan perairan dan pantai. Sepanjang tempoh itu juga diramalkan berlaku Garis Badai Sumatras yang juga mengakibatkan hujan lebat serta banjir kilat. Garis badai ni mengambil nama Sumatera sebab ia datang dari arah Sumatera yang membawa kejadian ribut.
“Ribut petir turut melanda perairan dan pantai negeri ini yang mengakibatkan laut bergelora dan berombak. Oleh itu aktiviti di laut perlu dielakkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sepanjang tempoh tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Sentiasa dapatkan maklumat terkini daripada saluran MetMalaysia terutama yang ingin mengembara,” katanya. – KOSMO! ONLINE