ALOR SETAR – Setelah sekian lama, akaun bank para pemain dan barisan kejurulatihan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali bernyawa apabila mereka menerima sedikit bayaran gaji semalam.
Menurut sumber dalaman pasukan, anggota pasukan tersebut menerima bayaran suku bulan gaji yang dianggap sebagai oksigen tambahan bagi membolehkan mereka untuk setidak-tidaknya ‘bernafas’.
“Ada masuk sikit, suku bulan gaji. Bolehlah untuk ‘bernafas’ dari tak ada langsung dan kami bersyukur.
“Namun boleh dikatakan mood pemain rata-ratanya masih sama kerana masing-masing mengharapkan bayaran gaji sekurang-kurangnya sebulan kerana tempoh tunggakan yang terlalu lama hingga mencecah tujuh bulan sebelum ini,” katanya.
Mengulas mengenai aksi menentang PDRM FC malam ini, sumber itu berkata sokongan penonton amat ditagih bagi memberi ‘tonik’ tambahan kepada pemain.
“Sokongan penonton menjadi motivasi terbaik buat pemain ketika ini. Dalam keadaan sekarang, kehadiran penyokong amat diperlukan.
“Tidak hanya menambah semangat pemain, kehadiran penyokong beramai-ramai juga memberi isyarat bahawa kantung KDA FC sedikit terisi,” katanya. – KOSMO! ONLINE