fbpx

Mengenang 3 tahun tanpa Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN menangisi pemergian, kerinduan terhadap Mamat Khalid diterjemahkan menerusi sebuah acara pertemuan dan diskusi seni dikenali sebagai Sarang Wayang Pacak berlokasikan Sarang Hub di Tanjung Malim, Perak, esok.

TANGGAL 24 Oktober lalu genap tiga tahun pemergian sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid. Meskipun begitu, keberadaan beliau masih terasa ada lewat karya-karya yang ditinggalkan.

Perkara sama turut dirasai anak keempatnya, Amen Khalid yang meneruskan legasi Allahyarham sebagai pembikin filem.

“Walaupun sudah tiga tahun arwah papa meninggalkan kita, sehingga kini peminat masih bercerita tentang beliau dan filem-filemnya.

“Itu kesan yang sangat besar bagi saya. Kekuatan karya arwah adalah dekat dengan masyarakat. Ramai orang senang dan rakan-rakan yang merindui papa.

“Jika bercerita sahaja tentang papa, semua orang akan ketawa dahulu. Cukup bagi Amen apabila peminat dan rakan-rakan mengenang arwah papa dengan senyum serta tawa,” kongsi Amen.

Sungguhpun kehidupan mereka sekeluarga berbeza sejak pemergian Allahyarham Mamat, legasi seni yang ditinggalkan tetap diteruskan.

Justeru, Amen menerusi Sarang Art Hub yang terletak di Tanjong Malim, Perak menganjurkan Sarang Wayang Pacak pada 26 Oktober ini untuk meraikan karyawan dan berkongsi ilmu tentang industri seni tempatan mahupun luar negara.

“Memang terasa berbeza sejak arwah papa tiada, tetapi kehidupan harus diteruskan. Disebabkan itu, saya menganjurkan acara Sarang Wayang Pacak.

“Selain menayangkan dokumentari arwah papa, acara ini juga untuk melepas rindu bersama rakan-rakan, peminat dan keluarga.

“Harapannya, menerusi acara ini kita semua dapat membina semangat baharu untuk meneruskan kehidupan,” tutur Amen kepada HibGlam.

Percuma

Tambah Amen lagi, acara Sarang Wayang Pacak turut mendapat kerjasama dengan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pelbagai program menarik telah disusun sepanjang acara antaranya, tayangan dokumentari Allahyarham Mamat Khalid, mengenang Allahyarham bersama barisan pelakon yang pernah bekerja dengan beliau, bicara filem bersama Hassan Abd. Muthalib dan Nasir Jani serta persembahan Kugiran Sarang and The Green Bamboo.

“Sarang Wayang Pacak adalah acara meraikan dan diskusi apa sahaja tentang seni dan muzik.

“Kami di Sarang Art Hub amat berbesar hati kerana buat pertama kalinya menjalinkan kerjasama dengan pihak Aswara.

“Bukan sahaja pelajar Aswara akan hadir tetapi pensyarah Aswara iaitu Muhmmed Izzat Hassan dan Azrie Izham Hamzah turut menjadi moderator program.

“Acara ini terbuka kepada semua dan tidak bertiket. Bermakna kemasukan adalah percuma kecuali makan dan minum,” jelas Amen.

Sambung Amen, mengikut perancangannya Sarang Wayang Pacak akan diadakan sebagai acara tahunan di Sarang Art Hub.

“Memang saya merancang untuk diadakan sebagai acara tahunan. Soal mahu mengembangkan lagi acara Sarang Wayang Pacak ke negeri lain dan lokasi berbeza, jujur kami masih belum ada kemampuan lagi.

“Namun, jika ada permintaan dan peluang perkara itu tidak mustahil untuk dikembangkan sebagai satu acara kesenian bukan sahaja di Sarang Art Hub tetapi di tempat lain pada masa depan,” kata Amen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI