fbpx

Mancini dipecat, pampasan £65 juta menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANCINI mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Arab Saudi. - AFP

RIYADH – Roberto Mancini bakal menerima pampasan lumayan apabila melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Arab Saudi menerusi persetujuan bersama selepas 14 bulan menggalas peranan tersebut.

Sejak dilantik menggantikan Herve Renard pada Ogos 2023, pengendali berusia 59 tahun itu cuma berjaya mencatat tujuh kemenangan daripada 18 perlawanan yang menyebabkan beliau ‘dipecat’ daripada posisi berkenaan.

Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dalam satu kenyataan berkata, pengganti Mancini akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Australia dan November bulan depan.

“Lembaga Pengarah SAFF dan pengendali pasukan kebangsaan, Roberto Mancini dari Itali bersetuju untuk menamatkan kontrak berkuat kuasa hari ini,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, Mancini menandatangani kontrak selama empat tahun sehingga 2027 sekali gus menjadikannya jurulatih bola sepak terkaya dunia dengan gaji tahunan selepas cukai bernilai £21.5 juta (RM121.24 juta).

Memandangkan kontraknya masih lagi berbaki tiga tahun, bekas pengendali Manchester City itu dijangka menerima pampasan kira-kira £65 juta (RM366.56 juta).

Berdasarkan laporan di Itali, hubungan para pemain Arab Saudi dengan Mancini menjadi tegang disebabkan situasi The Green Falcons ketika ini berada di tangga ketiga Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia.

Mereka tewas 0-2 kepada Jepun di laman sendiri pada 10 Oktober lalu sebelum seri tanpa jaringan dengan Bahrain dalam aksi kelayakan seterusnya lima hari kemudian yang dilihat sebagai kemuncak kemarahan SAFF terhadap Mancini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI