PETALING JAYA – Skuad bola jaring negara berjaya menundukkan Filipina dengan keputusan 67-46 dalam aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Asia 2024 hari ini, sekali gus melayakkan mereka bertemu Singapura di separuh akhir.
Skuad yang diketuai Fariha Razak tampil bersemangat meskipun bermula perlahan dalam suku pertama apabila ketinggalan 3-7 sebelum segera bangkit dengan corak permainan yang lebih kemas dan agresif.
Malaysia yang mendominasi perlawanan sehingga wisel penamat menjadikan kemenangan itu sebagai tonik terbaik setelah kekalahan pertama mereka dalam kejohanan tersebut kepada juara bertahan, Sri Lanka.
Sebelum perlawanan menentang Filipina, rekod tanpa kalah Malaysia tercalar apabila tewas kepada Sri Lanka, namun skuad negara tidak goyah dan kembali memperkukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A.
Terdahulu, mereka telah mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Jepun (82-8), Maldives (64-28), Arab Saudi (87-3), dan India (81-23), sekali gus memposisikan diri sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian.
Sebagai rekod, Malaysia pernah bergelar juara Asia pada edisi pertama 1985 dan berjaya mengulangi pencapaian itu pada 2016.
Dalam edisi terakhir pada 2022, Malaysia mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Hong Kong, manakala Sri Lanka merangkul gelaran juara. – KOSMO! ONLINE.