fbpx

Lori terbabas punca nahas lima maut di Jalan Gua Musang-Lojing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian sebuah kereta bertembung lori di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang hari ini. FOTO IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Sebuah lori membawa muatan batu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kereta dipercayai menjadi punca nahas lima maut termasuk empat sekeluarga di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan Mohd. Junaizi Jusoh, 48, dan isteri, Shazwani Ismail, 39, bersama anak mereka, Muhammad Fakrul Danish, 18, serta adik kepada Shazwani, Farhana Ismail, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, pemandu lori jenis Nissan, G. Mageswaran, 53, turut disahkan maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu lori yang membawa muatan batu itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, lori dipandu Mageswaran sedang dalam perjalanan menghala ke Gua Musang.

Menurutnya, semasa melalui jalan selekoh, kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Lori itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga dalam perjalanan menghala ke arah Cameron Highlands.

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan jatuh ke dalam gaung manakala lori tersebut terbalik di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo memberitahu, kesemua mangsa yang terlibat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat kelima-lima mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-912 1222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Aida di talian 012-402 7283,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI