GUA MUSANG – Lima termasuk empat sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Jalan Gua Musang-Lojing di Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohd. Junaizi Jusoh, 48, dan penumpangnya, Shazwani Ismail, 39, Farhana Ismail, 35, dan Muhammad Fakrul Danish Mohd. Junaizi, 20.
Selain itu, turut terkorban dalam nahas sama ialah pemandu lori jenis Nissan, G. Mageswara, 53.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.57 pagi dan seramai 18 anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lima mangsa masing-masing dua lelaki dan wanita di dalam Perodua Myvi dan pemandu lori tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit bermula pukul 1.25 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE