GEORGE TOWN – Pasukan Penang FC sekali lagi gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila tewas di tangan Sabah FC 0-4 pada minggu ke-14 perlawanan Liga Super 2024 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi.
Skuad mendapat jolokan Harimau Kumbang itu dilihat beraksi dalam keadaan tertekan dari separuh masa pertama setelah pasukan pelawat berjaya melakukan buah mula dengan tiga jaringan dalam tempoh singkat.
Perlawanan malam ini juga merupakan tugas sulung buat Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak yang bertindak selaku Penolong Pengurus membimbing pasukan itu untuk tempoh seketika bagi menggantikan ketua jurulatih, Akmal Rizal Rakhli yang dikatakan bercuti selama dua minggu.
Jaringan pertama pasukan Sabah diledakkan penyerang dari Indonesia, Saddil Ramdani seawal minit kedua menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Selang empat minit kemudian, Gabriel Peres pula menambahkan jaringkan kedua dan disambung dengan jaringan oleh Stuart Wilkin pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee dilihat tidak menunggu lama untuk menggandankan jumlah jaringan apabila kapten pasukan, Dominic Tan menyumbat gol keempat buat pasukannya.
Keputusan 0-4 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Penang FC terus kempunan mendapatkan tiga mata di laman sendiri.
Ahad lalu, pasukan itu sekali lagi tewas 0-1 dengan pasukan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang sekali gus membuatkan peminat tegarnya pulang dengan perasaan hampa.
Pada separuh musim ini, Penang FC hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan dengan satu daripadanya semasa bertemu Kelantan United 3-0 di laman sendiri, lebih dua bulan lalu. -KOSMO! ONLINE