PETALING JAYA – Seluruh Kedah dan Selangor antara negeri yang masih diramalkan menerima hujan lebat serta ribut petir sehingga pukul 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataannya berkata, 11 lagi negeri juga dijangka mengalami cuaca buruk sama.
“Turut terlibat adalah Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub).
“Selain itu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga diramal mengalami ribut petir,” kata kenyataan itu.
Kosmo! Online pagi tadi melaporkan, Kedah dan Selangor antara negeri yang diramal mengalami hujan lebat sehingga tengah hari. – KOSMO! ONLINE