fbpx

Karya Eco-Rangoli warnai sambutan Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada wakil pertubuhan Mereka, Biji-Biji Initiative dan PSKP serta kakitangan Sunway Resort Hotel bergambar pada majlis pelancaran Eco-Rangoli di hotel berkenaan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bersempena sambutan Deepavali minggu hadapan, Sunway Resort Hotel telah memperkenalkan Eco-Rangoli yang pertama seumpamanya seiring dengan amalan kelesta­rian hotel tersebut selama ini.

Inisiatif dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memelihara budaya masyarakat daripada pelbagai bangsa itu, hotel tersebut telah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Mereka, Biji-Biji Initiative dan Pertubuhan Perkhidmatan Sosial dan Pembangunan Komuniti Daerah Gombak, Selangor (PSPK) Ecohub melalui Program Beyond Bins.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat Eco-Rangoli yang dipamerkan di lobi hotel berkenaan bermula dari 15 Oktober hingga 2 November ini.

“Melalui simbol daripada tindakan kolektif dan kesedaran alam sekitar, ia telah dihasilkan menggunakan 30 kilogram (kg) plastik terbuang dengan melibatkan lebih daripada 1,600 penutup botol kitar semula yang dikumpul, dihancur dan dipasang dengan teliti.

“Karya seni yang rumit ini lebih daripada sekadar penghormatan hiasan kepada Deepavali kerana membawa mesej yang kuat tentang kitar semula, pe­ngurangan sisa dan pemerkasaan sosial,” katanya.

Tambah kenyataan itu, inisiatif ini juga menunjukkan bahawa perubahan kecil boleh memberi kesan yang ketara kepada alam sekitar.

“Buktinya, Eco-Rangoli yang diperbuat daripada bahan kitar semula ini telah membantu menghalang pembebasan 90kg pelepasan CO2 yang bersamaan dengan mengecas 11,500 telefon pintar atau memandu sejauh 365 kilometers (km) bagi kereta bahan api petrol,” ujarnya.

Katanya transformasi bahan terbuang yang digunakan kepada karya seni unik ini adalah sebagai usaha menyokong prinsip ekonomi semasa, mengalihkan sisa plastik daripada tapak pelupusan dan mencegah kemudaratan alam sekitar di masa hadapan.

“Selepas sambutan Deepavali berakhir, plastik daripada EcoRangoli ini akan dikitar semula menjadi coaster mesra alam bagi mengukuhkan komitmen Sunway terhadap penjagaan alam sekitar, pemerkasaan komuniti dan pemeliharaan budaya.

“Ia adalah selaras dengan inisiatif #SunwayforGood hotel dan matlamat Pembangunan Les­tari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, bersempena sambutan perayaan cahaya, Sunway Resort Hotel menawarkan kepelbagaian hidangan masakan India melalui bufet Spices of India yang eksklusif di Sunset Terrace!.

Bufet unik ini tersedia daripada 28 Oktober hingga 2 November ini dengan menawarkan pelbagai hidangan ikonik India yang telah memikat selera sejak turun-temurun seperti Mutton Shami Kebab dengan Mughlai Paratha dan Afghani Tandoori Chicken.

“Semua hidangan yang disediakan menggunakan resipi tradisional dan bahan-bahan terbaik untuk memberikan pengalaman perayaan yang tidak dapat dilupakan kepada semua masyarakat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI