ANDA sedang duduk di meja pejabat, tetapi tidak dapat melakukan apa-apa kerja
dengan baik kerana bergelut mengekang jari menggeletar.
Peluh menitik di belakang, anda tertanya-tanya sebab terasa hangat, walaupun penyaman udara pada kelajuan maksimum.
Anda merasakan degupan jantung tidak seperti biasa. Rakan-rakan telah memuji tentang jumlah berat badan anda telah turun, walaupun nafsu makan besar.
Perubahan emosi yang tidak menentu turut menjauhkan rakan-rakan daripada anda.
Dengan semua yang berlaku ini, anda tidak dapat menahan diri daripada berfikir, adakah semua ini berkait rapat dengan haid sedikit dan tidak teratur atau berkait dengan bengkak licin di leher serta mata menonjol?
Jika pernah mengalami mana-mana simptom yang dinyatakan di atas, anda mungkin mempunyai kondisi dikenali sebagai hipertiroidisme atau tirotoksikosis.
Ini akibat hormon tiroid yang tinggi atau dikenali sebagai tiroksin yang beredar dalam darah anda.
Dapat dilihat di leher dan menyerupai rama-rama, kelenjar tiroid merembes dan menyimpan tiroksin iaitu hormon yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan metabolisme dan fungsi badan lain.
Tahap hormon tiroksin pula dikawal oleh mekanisme badan.
Jadi, sebarang perubahan tahap hormon tiroksin akan membawa kepada tindak balas pembetulan dalam badan dan mekanisme ini dikenali sebagai homeostasis.
Apabila mekanisme ini gagal, maka tahap hormon tiroksin yang meningkat akhirnya akan membawa kepada gejala yang disebutkan di atas.
Ia sangat menakjubkan bagaimana organ kecil yang berukuran hampir 5 sentimeter (cm) ini boleh memberi kesan begitu ketara kepada tubuh.
Penyakit graves adalah salah satu punca hipertiroidisme yang paling biasa.
Dalam penyakit ini, antibodi pesakit (khususnya antibodi reseptor TSH) merangsang kelenjar tiroid untuk menghasilkan dan melepaskan tahap tiroksin tinggi ke dalam darah hingga mengakibatkan tirotoksikosis.
Penderitaan ini sering melanda wanita dalam usia reproduktif, terutamanya jika mereka mempunyai penyakit autoimun lain atau ada ahli keluarga dengan penyakit tiroid autoimun.
Selain bengkak leher yang licin, penyakit ini sering disertai dengan mata menonjol dan bengkak serta masalah kulit seperti gatal-gatal.
Punca hipertiroidisme yang lain adalah kehadiran tisu tiroid yang melepaskan hormon tiroid ke dalam aliran darah secara bebas dan tidak terkawal.
Dikenali sebagai nodul toksik, penyakit ini lebih biasa dalam kalangan populasi tua, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah kekurangan iodin.
Kemungkinan boleh terdapat satu atau beberapa nodul toksik di kawasan leher, sekali gus menjadikan ia bengkak dan kelihatan tidak rata kerana kewujudan ketulan. Kadangkala, bengkak leher boleh menjadi cukup besar sehingga menyebabkan kesukaran untuk menelan atau bernafas.
Punca lain hipertiroidisme boleh dikaitkan dengan faktor yang jarang berlaku seperti jangkitan akut pada kelenjar tiroid atau kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.
Jika tidak dirawat, tahap hormon tiroid yang tinggi secara kronik boleh mengakibatkan degupan jantung yang laju serta tidak teratur dan seterusnya kegagalan jantung.
Perkara ini juga boleh mengakibatkan kehilangan mineral tulang yang berlebihan lantas menyebabkan osteoporosis.
Kadangkala, pesakit hipertiroidisme mungkin mengalami keadaan yang mengancam nyawa secara teruk, dikenali sebagai ‘ribut’ tiroid, jika mereka mengalami keadaan perubatan akut lain seperti jangkitan dada atau serangan jantung.
Segera berjumpa dengan ahli endokrinologi bagi membantu anda jika mengalami hipertiroidisme, kerana kadang-kadang simptomnya mungkin samar pada peringkat awal.
Di samping penilaian klinikal, ujian darah diperlukan untuk menilai fungsi tiroid dan mengesahkan tahap hormon tiroid tinggi dalam darah.
Selain itu, ujian lanjut seperti ujian tahap antibodi, ultrabunyi (ultrasound) leher atau imbasan iodin radioaktif diperlukan untuk menentukan punca sebenar hipertiroidisme.
Sebagai contoh, pesakit graves mungkin pulih selepas rawatan perubatan selama 18 bulan, manakala pesakit dengan nodul toksik biasanya memerlukan ubat seumur hidup untuk mengawal tahap hormon tiroid.
Dalam kes sedemikian, pilihan lain seperti pembedahan atau pemusnahan sel-sel kelenjar tiroid dengan terapi iodin radioaktif boleh dipertimbangkan.
Dr. Kang Waye Hann adalah Pakar Endokrinologi di Columbia Asia Hospital Puchong, Selangor