RANTAU PANJANG – Seorang buruh ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Golok, di Kampung Dangar di sini semalam.
Mangsa, Mohd. Bilal Othman, 39, yang berasal dari Kedah disedari terjatuh ke dalam sungai itu oleh penduduk kampung kira-kira pukul 12.08 tengah hari.
Seorang penduduk, Syed Mohd. Muhyiddin Syed Omar, 34, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi oleh rakannya yang melihat mangsa terjatuh ke dalam Sungai Golok.
Menurutnya, rakannya itu meminta bantuan untuk menghubungi talian kecemasan selepas mendapati mangsa tidak timbul selepas terjatuh.
“Saya terus menghubungi Pasukan Bomba dan Penyelemat Rantau Panjang sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Mangsa dipercayai sedang bekerja berhampiran sungai itu sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.21 tengah hari sebelum beberapa anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dijumpai kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh selepas hampir tiga jam operasi dijalankan serta diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE