PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Russia, Vladimir Putin atas jemputan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang baru selesai.
Anwar dalam satu hantaran di laman X turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mewakili beliau ke Kazan.
“Terima kasih juga kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang telah mewakili saya ke Kazan bagi menyatakan kebersamaan Malaysia dalam usaha dan upaya kita melonjak kedudukan dan pendirian negara,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, sidang kemuncak bertemakan ‘BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik’ diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16.
Sidang tersebut turut menghimpunkan pemimpin negara serta menteri daripada sembilan negara anggota BRICS bersama wakil 20 negara jemputan bukan BRICS.- KOSMO! ONLINE