KANGAR – Polis menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak yang tidak memiliki lesen memandu yang sah menunggang motosikal atau berdepan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya mendapati peningkatan kes penunggang motosikal bawah umur semakin membimbangkan.
“Statistik terkini menunjukkan sebanyak 161 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal bawah umur dari Januari hingga September lalu berbanding 152 saman dalam tempoh sama tahun lalu di daerah Kangar,” katanya.
Beliau berkata, saman juga dikeluarkan kepada pemilik motosikal yang membenarkan penunggang bawah umur menggunakan kenderaan mereka di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, operasi penguatkuasaan secara berterusan akan diteruskan bagi membendung kesalahan trafik dalam kalangan remaja. – KOSMO! ONLINE