GEORGE TOWN – Aksi perlawanan Penang FC bertemu Sabah FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam ini berlangsung tanpa kelibat ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang itu, Akmal Rizal Rakhli.
Situasi ini sudahpun dijangka berikutan bekas pemain kebangsaan itu sehingga saat ini memilih untuk mengunci mulut dan tidak memberi sebarang maklum balas berhubung persiapan pasukan kendaliannya sebelum bertemu dengan anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Meskipun pelbagai spekulasi timbul mengenai status anak jati dari Jitra, Kedah itu namun pihak pengurusan tertingginya kekal dengan jawapan sama dengan mengatakan pengemudi pasukan mereka masih berada dalam senarai.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew ketika dihubungi Kosmo! di sini malam ini berkata, Akmal Rizal ketika ini sedang bercuti sehingga 21 November depan.
“Ya (Akmal tiada pada perlawanan menentang Sabah malam ini). Akmal masih bersama Penang FC. Betul (Akmal bercuti) selama dua minggu,” katanya bagi menjawab tentang status kehadiran Akmal malam ini.
Pada perlawanan malam ini, Penang FC dibimbing Pembantu Ketua Jurulatih, Mat Saiful Mohamad manakala Merzagua Abderrazak selaku Pengarah Teknikal bertindak sebagai Penolong Pengurus pasukan itu.
Baru-baru ini kecoh di laman sosial berhubung kedudukan Akmal Rizal dengan pasukan bimbingannya itu yang didakwa telah digantikan oleh Merzagua untuk tempoh seketika, yang juga bekas pemain dan berasal dari Maghribi.
Keadaan ini tercetus berikutan keputusan beberapa perlawanan yang tidak memuaskan membabitkan skuad itu dalam saingan Liga Super 2024 musim ini.
Ahad lalu, Penang FC sekali lagi tewas 0-1 dengan pasukan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Pada separuh musim ini, Penang FC hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan dengan satu daripadanya semasa bertemu Kelantan United 3-0 di laman sendiri, lebih dua bulan lalu. -KOSMO! ONLINE