ALOR SETAR – Terdapat golongan ibu bapa yang menggunakan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk membeli keperluan dapur termasuk beras berbanding barangan kelengkapan sekolah anak.
Sehubungan itu, Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad meminta ibu bapa supaya bersikap amanah dengan menggunakan wang bagi keperluan persekolahan anak-anak sahaja.
Menurut beliau, kebarangkalian wang bantuan itu digunakan untuk membeli kelengkapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun depan juga adalah tinggi memandangkan sesi persekolahan 2025/26 bermula dua minggu sebelum sambutan tersebut.
“Nama pun bantuan persekolahan kita berharap ibu bapa ikutlah hasrat kerajaan untuk membantu meringankan beban pelajar nak masuk sekolah. Guna untuk beli kelengkapan sekolah anak-anak. Umat Islam dijangka sambut Ramadan awal Mac dan wang BAP ini mungkin tengah diagihkan ketika itu.
“Semestinya ada dalam kalangan ibu bapa akan guna wang itu untuk kegunaan lain termasuk (beli) baju raya dan sebagainya. Saya rasa semua kena amanah dan bertanggungjawab. Sebelum ini pun kita tahu ada ibu bapa yang ambil duit beli benda lain termasuk barang dapur… beras, carilah wang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zainol Abidin menambah, pihaknya pada masa yang sama mengesyorkan agar agihan wang BAP itu tidak dilakukan terlalu awal bagi memastikan ia digunakan dengan cara terbaik untuk pelajar. – KOSMO! ONLINE