PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kes 1BestariNet masih disiasat dan pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum dapat mengumumkan hasil daripada siasatan yang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau dan badan penyiasatan itu juga sentiasa memantau siasatan berkenaan kes tersebut dari semasa ke semasa.
“Saya tangguhkan dahulu pengumuman apa yang patut, nanti tunggu sehingga pegawai saya selesai menjalankan siasatannya.
“Saya (juga) sentiasa memantau siasatan ini dari semasa ke semasa jadi buat masa ini, tak payah tanya orang lain, tanya saya sahaja tentang perkembangan (kes) itu, buat masa ini saya rasa belum lagi nak umumkan, bagi masa sikit lah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024 di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan SPRM perlu melihat beberapa isu tatakelola dalam pemberian tender membabitkan projek 1BestariNet sebelum memanggil pihak berkaitan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, SPRM telah mengadakan perjumpaan dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melibatkan isu berkenaan.
Terdahulu, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011. – KOSMO! ONLINE