MALAYSIA akan menjadi tuan rumah bagi acara berprestij, Miss World Kebaya 2024 di Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Highlands, Pahang pada 1 Disember ini.
Menurut Presiden Malaysia Fashion Modeling and Pageant Association (MFMPA), Dr. Jason Hee Jee Pin, acara tersebut bertujuan mempromosikan warisan budaya negara melalui pakaian tradisional yang elegan iaitu kebaya.
Menurutnya, selepas sedekad penganjurannya, pertandingan Miss Malaysia Kebaya (MMK) melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.
“Penjenamaan semula kepada Miss World Kebaya 2024 membuktikan komitmen penganjur membawa busana tradisi ini ke mata dunia.
“Penganjuran julung kali diadakan ini menyasarkan penyertaan daripada 20 buah negara.
“Sejak dianjurkan pada 2014, pertandingan ini membabitkan penyertaan peserta dari dalam negara sahaja.
“Namun tahun ini, kami membuka peluang dan ruang kepada penyertaan antarabangsa supaya keunikan kebaya dapat dilihat di mata dunia,” katanya pada sidang akhbar di Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Highlands baru-baru ini.
Pada majlis sama, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman antara MMK dan beberapa rakan kongsi strategik.
Antaranya, termasuk The New Charismatic Successful Entrepreneur Award (TNCSEA), The Asia Pacific International Arts Festival, Monkii Global Holdings, Tourism Malaysia dan Dewan Perniagaan Usahawan Wanita Malaysia .
Tambah Jason, selepas melalui tempoh uji bakat, seramai 15 finalis Miss World Kebaya 2024 telah dipilih dari lebih 10 negara.
Antara negara terlibat termasuklah Malaysia, China, Syria, Sudan, Bangladesh, Afrika Selatan, Brazil dan Thailand.
Ujarnya, sepanjang tempoh pertandingan, pelbagai aktiviti dan cabaran selama 10 hari di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia perlu dihadapi peserta.
Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk liputan pertunjukan realiti, lawatan tajaan, pengucapan awam dan ujian kecergasan.
Katanya, pertandingan berkenaan akan bermula pada 24 November dengan majlis perasmian, persembahan kebudayaan, pusingan awal pertandingan, bengkel kebudayaan dan sesi foto berlangsung di Shah’s Beach Resort, Melaka.
“Pada 25 November hingga 26 November, peserta akan bergerak ke Avani Sepang Gold Coast di Selangor untuk acara bertemakan pantai, sesi foto dan pertunjukan bakat,” ujarnya.
Jason berkata, peringkat akhir akan berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember di Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Highlands.
Tambahnya, para finalis akan menyertai beberapa aktiviti yang sudah ditetapkan termasuk latihan akhir.
Pemenang Miss World Kebaya 2024 akan dinobatkan pada 29 November dan pertandingan akan berakhir pada 1 Disember iaitu semasa malam anugerah anugerah MFMPA Internationa dan TNCSEA 2024.
“Ia bertujuan menghargai kecemerlangan dalam industri peragaan fesyen dan pertandingan ratu cantik, di samping meraikan usahawan muda berumur antara 20 hingga 30 tahun ke atas,” katanya.