JEMPOL – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan lori sebelum hilang kawalan dan digilis kenderaan berat itu dalam kejadian di Kilometer 0.5, Jalan Bahau-Juasseh di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, nahas pada pukul 7.50 pagi itu melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego ditunggang lelaki berusia 72 tahun dan lori jenis hino.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Juasseh.
“Setibanya di lokasi, drebar lori dipercayai memotong motosikal mangsa dari arah sama sebelum bergesel dengan tayar hadapan kiri lori.
“Penunggang motosikal kemudian terjatuh sebelum digilis lori. Akibatnya mangsa cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pemandu lori kemudian ditahan dan permohonan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Bahau. – KOSMO! ONLINE