PETALING JAYA – Seorang individu menyamar sebagai penghantar makanan sebelum meragut rantai emas yang dipakai mangsa di kedai buah di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan.
Menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 52 saat itu, kelihatan suspek menunggang motosikal dan kemudian memberhentikan kenderaan itu di hadapan kedai buah.
Kelihatan juga rakan suspek yang berada di lokasi kejadian seolah-olah sedang memerhati keadaan sekeliling agar kegiatan jenayah mereka berjaya dilakukan.
“Hati-hati semua, kejadian tengah hari semalam di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan. Ragut rantai emas di kedai buah.
“Ada yang menyamar hantar makanan, cari-cari Alamat. Sebenarnya cari mangsa untuk ragut. Kesian orang yang betul-betul nak buat kerja penghantar makanan akan dipandang serong,” tulis kapsyen pada video yang tular itu.
Menjengah ke ruangan komen rata-rata pengguna meminta orang ramai untuk berhati-hati terutama wanita yang memakai barangan kemas.
“Memang kena lebih berhati-hati lepas ini,” komen @Bangjet.
“Pencuri kalau nampak emas memang mereka akan curi,” kata @Juara Sg. Buloh. – KOSMO! ONLINE
KEJADIAN TENGAHARI SEMALAM DI TAMAN UNIVERSITI INDAH SERI KEMBANGAN
RAGUT RANTAI DI KEDAI BUAH
Ada yg menyamar hantar makanan bila dok buat tercari2 alamat…. Sebenarnya cari mangsa untuk ragut… Kesian org yg betul2 nk buat keja grab food ni akan dipandang serong. pic.twitter.com/VNwMr7OWPU— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) October 23, 2024