MADRID – Juara Eropah, Real Madrid mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Borussia Dortmund 5-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Santiago Bernabeu itu, penyerang sensasi The Galacticos, Vinicius Junior meledak hatrik, manakala dua lagi gol disumbangkan oleh Antonio Rudiger dan Lucas Vazquez.
Pengendali Real, Carlo Ancelotti melihat aksi sempurna yang dipamerkan oleh Vinicius terus mencerahkan peluang untuknya menggondol anugerah pemain terbaik dunia, Ballon d’Or 2024 pada minggu depan.
“Apa lagi yang boleh saya katakan tentang Vinicius kerana bukan mudah untuk membantu pasukan bangkit dengan prestasi ampuh pada babak kedua.
“Dia memiliki tenaga dan karakter yang cukup hebat dan saya harap dia dapat menjadi pemenang Ballon d’Or nanti kerana sangat konsisten sejak musim lalu,” kata Ancelotti.
Mengulas mengenai perlawanan, Ancelotti mengakui anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar pada separuh masa pertama tetapi berjaya bangkit dengan menjaringkan lima gol pada 30 minit terakhir.
“Selepas waktu rehat, saya cuba untuk ubah taktikal dan sistem permainan pasukan dan percaturan tersebut membuahkan hasil. Saya harap pasukan dapat belajar daripada perlawanan ini dan kekal fokus untuk harungi aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI