SHAH ALAM – Kehadiran juara sensasi Muay Thai dunia, Rodtang Jitmuangnon bakal menggamatkan Kejohanan Kuda Merah International Muay Thai Challenge 2024 ‘King Of the Ring’ pada 16 dan 17 November depan.
Legenda ONE Championship dari Thailand itu dijadualkan menghadiri acara Grand Final kali ke-75 berkenaan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, seramai 26 peninju terbaik dari dalam dan luar negara akan berentap merebut 13 tali pinggang yang dipertandingkan.
Menurutnya, kejohanan kali ini bakal hangat apabila julung kali melibatkan perlawanan antara 12 peninju tempatan dengan peninju luar negara seperti Thailand, Yemen, Afghanistan, Iran dan Filipina.
Rosli menambah, satu kejuaraan tali pinggang kejohanan itu turut ditaja penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi kategori Wanita Super Fight.
Orang ramai yang mahu mendapatkan tiket menyaksikan kejohanan itu boleh melayari Ticket2U.com atau menghubungi talian 012-7864930. – KOSMO! ONLINE