fbpx

PSSM tawar ‘kapsul masa’ percuma hayati sosiobudaya Selat Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persidangan Seni Budaya Selat Melaka dianjurkan secara percuma selama dua hari bermula esok di Hotel The Straits, Banda Hilir.

MELAKA – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka menganjurkan Persidangan Seni Budaya Selat Melaka (PSSM) yang mementaskan garis masa perkembangan sosiobudaya di Selat Melaka secara percuma selama dua hari bermula esok di Hotel The Straits, Banda Hilir.

Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata, bertemakan Dunia Maritim Selat Melaka, PSSM memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghayati keunikan seni budaya serta warisan di negeri-negeri dan negara rantau perairan Selat Melaka menerusi 16 orang pemakalah bagi enam sesi disediakan.

“Persidangan ini adalah bersempena sambutan Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka dengan kerjasama Nusantara Research Center serta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka.

“PSSM akan mementaskan perkembangan sosiobudaya di Selat Melaka termasuk rakaman sejarah Panglima Awang atau Enrique de Malacca, Kesenian Hibrid di Selat Melaka, Kesenian Islam di Selat Melaka, Kesenian Pergaulan di Selat Melaka, Teater Tradisional di Selat Melaka serta Kesenian Pasca-Kolonial Selat Melaka,” katanya.

Jelasnya, PSSM membawakan pemakalah berkaliber terdiri daripada Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Drs. Mod Nasruddin Rahman, Mohd. Fadzil Mazlan, Gerard De Costa, Prof. Dr. Mohd. Anis Md. Nor, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, Tan Sri Prof. Datuk Dr. Abd. Latiff
Abu Bakar dan Imam Juani (Aceh).

“Persidangan ini secara tidak langsung adalah wahana cetusan tahap keintelektualan berhubung kait dengan keupayaan pemikiran manusia secara logikal, kritikal dan analitikal.

“Bandaraya Melaka dipilih untuk persidangan ini kerana sesuai dengan taraf Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia yang diisytiharkan oleh UNESCO, selain persediaan menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.

Katanya lagi, PSSM juga merupakan program penyemarakan aktiviti keilmuan seni budaya dan memupuk nilai
budaya tinggi sesuai dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (Daken 2021) untuk menjadikan Malaysia sebuah “Negara Maju Rakyat Berbudaya”.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program PSSM boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman media sosial JKKN Melaka, Tourism Melaka, Kerajaan Negeri Melaka, Melaka River Cruise, Institut Warisan Melaka serta saluran telegram My Melaka News. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI