fbpx

PDRM pastikan aliran trafik GP Malaysia 2024 lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PDRM akan memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang penganjuran MotoGP di SIC, Sepang dari 1 hingga 3 November ini. - SIC

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan keselamatan dan aliran trafik terkawal sepanjang Kejuaraan Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1 hingga 3 November ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran acara sukan permotoran berprestij ini serta keselamatan para penonton dan peserta.

“PDRM sememangnya diberi tanggungjawab soal keselamatan dan aliran trafik di kawasan Sepang. Menjelang GP Malaysia nanti dijangka kehadiran penonton yang hadir akan melibatkan jumlah yang ramai dan pengurusan yang baik perlu dilakukan untuk melancarkan perjalanan orang ramai ke Sepang nanti.

“Pihak kami juga akan menempatkan lebih daripada 500 anggota polis dan trafik di sekitar kawasan Sepang dan laluan utama menuju ke SIC bagi mengawal lalu lintas serta memastikan keselamatan para pelumba, kru pasukan dan penonton yang dijangka memenuhi litar tersebut selama tiga hari.

“Saya juga menasihati orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya dan pada semua yang hadir, rancanglah perjalanan masing-masing serta datang lebih awal. Jangan datang pada saat akhir kerana kesesakan pasti akan berlaku. Pihak PDRM tetap ingin memudahkan perjalanan semua penonton ke SIC.

“Apapun, tiada penutupan jalan akan dibuat cuma pengubahsuaian perjalanan ke Sepang akan dilakukan untuk memastikan kelancaran keluar masuk ke SIC,” katanya pada sidang media aliran trafik menjelang GP Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, PDRM turut menasihatkan kepada pengunjung untuk menjaga keselamatan diri dan harta benda selain tidak membawa barang yang salah di sisi undang-undang.

“Dari segi keselamatan, saya menasihatkan supaya jangan membawa barang yang salah di sisi undang-undang. Datanglah dengan semangat kesukanan dan pandulah kenderaan atau motosikal dengan berhemah demi keselamatan bersama untuk menjayakan MotoGP Sepang,” ujarnya.

PDRM turut menegaskan pihaknya juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain untuk memastikan kelancaran GP Malaysia selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shariman Hanif turut memaklumkan kemasukan percuma bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah akan ditawarkan untuk menyaksikan GP Malaysia.

Tegas Shafriman, langkah terbaharu ini diambil bagi meringankan beban ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka menyaksikan perlumbaan berprestij dunia tersebut.

“Langkah ini bertujuan untuk menyokong ibu bapa membawa anak-anak mereka dan mengurangkan kos tiket untuk kanak-kanak. Sebelum ini, kemasukan percuma hanya untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, tetapi tahun ini kami memperluas kepada tujuh tahun ke bawah,” kata Shafriman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI