fbpx

Pantai Timur terlalu jauh untuk terima tempias taufan Trami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Taufan Trami yang sedang melanda Filipina tidak mungkin boleh mencetuskan ribut di Dungun, Kemaman di Terengganu dan Kuantan, Lepar serta Pekan di Pahang seperti ditularkan dalam media sosial.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, negara diramal tidak akan menerima tempias secara langsung taufan Trami ekoran kedudukannya yang agak jauh.

“Berdasarkan laporan Agensi Meteorologi Jepun, taufan Trami agak jauh dengan kawasan kita. Taufan itu dijangka mendarat di Vietnam selepas melanda Filipina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan di media sosial kononnya kawasan dari Paka, Dungun hingga Pekan berisiko dilanda ribut bermula pukul 2 petang esok.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terutama penduduk setempat sehingga mendapat teguran Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Che Adam A. Rahman.

Begitupun, Jing Xiang tidak menolak kemungkinan taufan tersebut boleh meningkatkan potensi hujan terutama di Pantai Timur.

Jelasnya, ia disebabkan fenomena taufan yang bertekanan rendah berpotensi menyedut kelembapan atmosfera.

“Hujan berpotensi berlaku sekiranya kelembapan-kelembapan ini melalui kawasan atmosfera (negara) kita.

“Apapun sebenarnya kejadian hujan pada waktu petang dan malam di Pantai Timur adalah normal memandangkan kita sedang berada pada tempoh peralihan monsun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI