PUTRAJAYA – Malaysia menawarkan khidmat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 di Brunei bagi membincangkan kepentingan usaha bersama menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam, pada hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara itu berkata, SMART merupakan satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun.
Kata Ahmad Zahid, SMART diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs.
“Saya juga berkongsi pendirian bahawa Malaysia komited dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif bersifat tempatan dan serantau.
“Ini termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 serta program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas dan orang kurang Upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dasar dan program ini jelas menunjukkan komitmen dan tindakan Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan terhadap mitigasi risiko.
Katanya, usaha Malaysia mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana turut dibangkitkan melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN) yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal.
“PRABN mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam, iaitu salah satu inovasi penting dalam mempertingkatkan kecekapan tindak balas bencana.
“Usaha ini turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalam infrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia berperanan aktif di peringkat ASEAN dengan menyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).
Tambahnya, Malaysia turut terlibat dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP).
Selain itu beliau berkata, Malaysia juga akan memperhebatkan penyertaan dalam mekanisme serantau seperti ASEAN Standby Arrangements (SASOP) yang memastikan respons kecemasan bencana dapat diselaraskan dengan cekap dan tepat pada masanya.
“Ini termasuk penilaian aset dan keupayaan negara untuk menyokong tindak balas serantau yang lebih pantas dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE