fbpx

Lesap RM1.2 juta ditipu keluarga sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin bersama mangsa yang terbabit penipuan pelaburan junket kasino di Megan Avenue 1 hari ini. FOTO oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan kekasihnya disyaki menipu anak serta keluarganya dalam pelaburan tidak wujud dengan berpura-pura sebagai agensi bertauliah di syarikat junket terkenal di Genting Highlands, Pahang sehingga kerugian RM1.2 juta.

Modus operandi wanita berusia 49 tahun dan teman lelakinya, 45, adalah menarik perhatian orang-orang kenamaan untuk bermain judi di kasino Genting Highlands dan menjanjikan komisen bagi setiap pemain.

Menurut John, 33, dan isterinya, Kristy, 27, mereka mula melabur pada Jun hingga September 2022 dengan nilai RM500,000 manakala keluarga lain RM700,000.

“Seorang pemain memerlukan sebanyak RM50,000 sebagai kos dan mereka menjanjikan pelabur komisen bagi wang yang dilaburkan.

“Yang kami tahu, setiap jumlah yang dilabur akan dapat 10 peratus keuntungan. Memang tidak banyak tanya (mengenai pelaburan) sebab percaya ibu,” ujar John ketika sidang akhbar di Megan Avenue 1 hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati ibu dan kekasihnya bukanlah agen bertauliah susulan syarikat junket berkenaan menafikan dakwaan itu.

Bagi Kristy pula, dia sangat sedih apabila mengetahui ibu kandungnya sanggup menipu dia dan keluarga sebelum menghilangkan diri.

“Biasa dapat tengok dari berita sahaja, saya tidak pernah terfikir benda ini berlaku pada saya. Saya sedih, tidak sangka ibu sendiri akan buat macam ini pada saya.

“Mengenai hubungannya dengan kekasih saya tidak pasti berapa lama. Saya boleh anggar mereka kenal sudah dua tahun,” katanya.

Menurut pasangan suami isteri itu, mereka sempat mendapat pulangan RM200,000 pada awal pelaburan seterusnya RM200,000 lagi selepas menggertak ibu untuk membuat laporan polis setelah lama tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.

Pelbagai alasan digunakan termasuklah memberi alasan wang mereka telah dibayar ke Cambodia dan mengarahkan pergi negara tersebut untuk mendapatkan wang mereka kembali.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Kuantan pada Februari tahun ini dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin menggesa pihak polis agar mempercepatkan siasatan agar mereka yang terlibat ini tidak melarikan diri ke luar negara dan dihadapkan ke mahkamah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI