KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menggalakkan penggunaan teknologi terkini dengan memasukkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon berkata, ia termasuk menggalakkan syarikat-syarikat membangunkan tempat kerja pintar dengan memberi pendedahan berkaitan teknologi KKP selain mengetengahkan aspek komersial dan teknikal sesuatu produk.
“Arah aliran global berkaitan teknologi dan digitalisasi mengubah proses secara besar-besaran dengan memanfaatkan pendekatan digital terkini.
“Ini termasuklah automasi, pendigitalan dan analitik termaju juga diketengahkan dalam Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Tambah beliau, statistik kecederaan pekerjaan yang dikeluarkan JKKP pada 2022 mendapati sebanyak 34,216 kes kecederaan di tempat kerja telah direkodkan.
“Daripada jumlah ini, 317 merupakan kes maut, manakala bakinya melibatkan kecederaan serius dan hilang upaya kekal. Setiap kemalangan yang berlaku melibatkan nyawa, keluarga dan masa depan pekerja tersebut.
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua sama ada majikan, pekerja atau pihak kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat,” ujarnya.
Katanya, ia sekali gus, mencapai matlamat sifar kemalangan di tempat kerja di seluruh negara.
Sutekno berkata, melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 1 Jun 2024, landskap KKP di negara kita akan berevolusi
“Ini adalah salah satu tindakan positif dalam menambah baik standard KKP Negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE