LONDON – Kem Arsenal terus ditimpa masalah apabila kehilangan seorang lagi pemain utama kerana masalah kecederaan sekali gus menyukarkan mereka untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Stadium Emirates pada Ahad ini.
Terbaharu, The Gunners mungkin terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan kiri Itali, Riccardo Calafiori kerana masalah lutut ketika menang 1-0 ke atas Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Ini menyaksikan Arsenal kini sudah kehilangan empat watak penting dalam kesebelasan utama termasuk kapten, Martin Odegaard, Bukayo Saka dan Jurrien Timber.
“Dia (Calafiori) merasakan sesuatu di bahagian lutut kanannya, jadi sebab itu dia tak boleh teruskan perlawanan. Ya situasi ini sememangnya membimbangkan kami,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Calafiori yang dibeli daripada Bologna musim ini, gagal meneruskan perlawanan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72, digantikan oleh pemain muda berusia 18 tahun, Myles Lewis-Skelly.
Mujur ketiadaan Calafiori tidak memberikan sebarang kesan kepada Arsenal yang meraih gol menerusi jaringan sendiri penjaga gol Shakhtar, Dmytro Riznyk selepas gagal membaca percubaan Gabriel Martinelli pada minit ke-28.
Naib juara EPL dua musim berturut-turut itu sepatutnya boleh menang selesa dengan dua gol tetapi malangnya sepakan penalti diambil Leandro Trossard diselamatkan Riznyk pada minit ke-76.
Bagaimanapun, kemenangan itu sekurang-kurangnya menjadi tonik terbaik buat Arsenal sebelum bertemu Liverpool selepas terdahulu tewas mengejut 0-2 kepada Bournemouth yang menyaksikan William Saliba dilayangkan kad merah hujung minggu lalu. – AGENSI