fbpx

Dewan Rakyat: Tiada risiko kejadian lubang benam di Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan tiada risiko kejadian lubang benam di daerah Klang kerana kawasan itu tidak didasari batu kapur.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, geologi di Klang terdiri daripada formasi gula yang merupakan enapan lautan berusia kuarternar terdiri daripada lempung lautan.

“Insiden lubang benam berisiko berlaku di kawasan yang didasari oleh batuan batu kapur, manakala insiden tanah jerlus boleh berisiko di mana-mana kawasan yang berpunca dari pelbagai faktor sama ada semulajadi atau aktiviti manusia.

“Potensi insiden tanah jerlus di Klang lazimnya disebabkan faktor bukan semulajadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem perparitan dan kegagalan terhadap struktur tanah tambakan yang bersifat setempat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai perancangan membantu membendung insiden lubang benam (sinkhole) di kawasan berisiko tinggi khususnya di Klang.

Dalam pada itu, Alexander berkata, KKR bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk Laluan Persekutuan 5 (FT5) yang terletak di Klang.

Kata beliau, bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus disebabkan oleh kebocoran paip utiliti, pemasangan utiliti dalam rizab Jalan Persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang disyaratkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)

Ujar beliau, pemantauan dan penyenggaraan secara berkala juga dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh KKR bagi memastikan jalan dalam keadaan baik termasuk sistem perparitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI