fbpx

Dewan Rakyat: Peserta MyKiosk jual ayam gunting dapat RM30,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu seorang peserta program MyKiosk@KPKT di Melaka memperoleh pendapatan sebanyak RM30,000 sebulan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raj Munni Sabu berkata, pencapaian peniaga itu antara kisah kejayaan dibawah program MyKiosk@KPKT.

“Ada peniaga ayam gunting di Melaka sebelum ini pendapatan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Melalui penggunaan MyKiosk oleh KPKT, pendapatannya kini RM30,000 sebulan dan ini kita boleh perkasakan (dalam program MyKiosk@KPKT),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) bagaimana inisiatif MyKiosk oleh KPKT dapat membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

Terdahulu, Raj Munni menerangkan,antara isu sampingan penjaja atau peniaga kurang berminat menggunakan kemudahan MyKiosk seperti kesesuaian lokasi dan ketersediaan infrastruktur asas yang lengkap.

Menurut beliau, isu itu termasuk tapak berturap dan platform bagi menempatkan MyKiosk, maka KPKT mengambil pendekatan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memohon peruntukan untuk kerja-kerja penambahbaikan.

Ujar beliau, MyKiosk akan turut ditempatkan di lokasi yang lebih strategik seperti kawasan tumpuan pelancongan, taman rekreasi, pusat komersial dan kawasan perumahan.

“Sewaan dikenakan adalah enam bulan pertama percuma dan diberi dengan segala kemudahan termasuk bekalan elektrik percuma. Bagi pelaksanaan MyKiosk 2.0 pada tahun 2024, penambahbaikan dibuat terhadap spesifikasi reka bentuk yang lebih lestari alam serta menarik dan kemudahan kiosk yang lebih baik tanpa peningkatan kadar sewaan.

“Kini setiap unit kiosk dilengkapi dengan tenaga solar berkapasiti 1,000 watt. Penggunaan material yang tahan lasak. Lampu LED, reka bentuk bumbung mengelak air bertakung dan berlumut, tingkap hidraulik, roda dan rak mudah laras untuk memudahkan susun atur produk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI