fbpx

Dewan Rakyat: Masalah banjir kilat jadi keutamaan menjelang Kepengerusian ASEAN 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha pada sidang Dewan Rakyat di ibu negara hari ini. - Foto JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan berdepan dengan banjir khususnya banjir kilat di ibu negara menjadi keutamaan menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa tindakan kesiapsiagaan itu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Sebagai tindakan jangka pendek, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) telah menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga outlet di Kawasan terjejas banjir.

“DBKL juga kini meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan Bawah tanah (OSD), penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai tahap kesediaan Kuala Lumpur bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan isu banjir kilat belum selesai.

Dr. Zaliha berkata, dalam usaha jangka sederhana menghadapi insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah.

Menurut beliau, semua kolam-kolam takungan banjir telah dilakukan pengorekan kelodak mengikut keperluan semasa dan jadual berkala dan longkang-longkang tepi jalan turut dinaik taraf bukaan sesalur bagi mengurangkan implikasi banjir kilat.

Ujar beliau, untuk tindakan jangka panjang pula, pada tahun 2022 dan 2023 sebanyak 7 projek mitigasi banjir telah siap, manakala pada 2024 terdapat 14 projek iaitu dua projek sudah siap, empat dalam pelaksanaan dan lapan di peringkat analisa tender.

“Seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, empat lagi projek dirancang. Semua pemaju juga diwajibkan untuk melaksanakan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Edisi Ke-2 serta sistem saliran mampan seperti Bioecods untuk mengawal aliran air semasa kerja tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, kaedah berteknologi tinggi ‘Kandagawa Storm Water Reservoir’ dari Jepun mampu menyelesaikan masalah banjir kilat di ibu negara, tetapi kos terlibat yang besar menjadi cabaran kepada kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI