fbpx

Daging kambing biri-biri antara 8 barangan dikawal sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan (dua dari kanan) meninjau sebuah pasar raya di Kuala Lumpur hari ini, sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024. - Foto KPDN

PETALING JAYA – Sebanyak lapan barangan disenaraikan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 berkuat kuasa dari 28 Oktober hingga 3 November ini.

Ia melibatkan daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India) termasuk Ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.

“Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain industri.

“Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, KPDN sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di pasar raya Sam’s Groceria Sdn. Bhd., Kuala Lumpur sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.

Armizan berkata, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI