PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan rasa prihatin terhadap kebajikan seorang guru yang sedang diuji dengan keadaan isterinya yang menghidap kanser, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan KPM yang dimuat naik di laman Facebook rasmi hari ini, menyedari situasi sukar yang dihadapi, pihak mereka telah mengambil tindakan segera untuk memberi sokongan kepada guru tersebut.
“Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.
“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit,” katanya.
Selain itu, KPM turut mendoakan agar isteri kepada guru itu segera sembuh dan berjanji untuk memastikan kebajikan guru tersebut serta keluarganya terjaga.
Keprihatinan ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan para guru mendapat sokongan yang diperlukan dalam menjalankan tugas mereka dengan tenang dan aman.
Sebelum ini, kisah seorang guru bernama Cikgu Din yang berhadapan dengan ujian kesihatan isterinya kerana disahkan menghidap kanser telah menjadi perhatian di media sosial.
Menurut hantaran daripada akaun Harima Abd Rahman, Cikgu Din dilaporkan telah memohon pertukaran ke Semenanjung untuk menjaga isterinya, namun permohonan tersebut ditolak. – KOSMO! ONLINE