fbpx

‘Biarpun mimpi, kami takut ada budak kena culik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan perkuburan yang didakwa pelajar sekolah terbabit merupakan lokasi 'penculikan'.

GERIK – Penduduk Kampung Padang di sini tetap berwaspada susulan dakwaan cubaan menculik di kawasan mereka walaupun dikatakan sekadar imaginasi mangsa.

Hasil tinjauan di kampung itu mendapati mereka yang ditemui pada mulanya terkejut dan takut kerana kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku di kampung tersebut.

Seorang penduduk, Mohd. Azli Saad, 45, berkata, mereka berasa lega kejadian itu tidak benar namun tidak mahu mengambil mudah dalam soal keselamatan.

“Saya mengetahui perkara ini semalam. Kemudian tidak sampai 24 jam, tular dalam kumpulan WhatsApp bahawa ia sekadar mimpi mangsa. Kami masih macam biasa dan mengawasi keselamatan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang penduduk, Che Yam Ibrahim, 53, pula berkata, van yang bernombor pendaftaran negara jiran jarang memasuki kawasan Kampung Padang, namun tidak menolak kemungkinan ada penduduk pernah melihat van seperti itu memandangkan Gerik adalah bersempadan dengan Thailand.

Sementara itu, lokasi kejadian yang didakwa berlaku itu terjadi di jalan utama bersebelahan tanah perkuburan Islam Kampung Padang.

Hasil tinjauan mendapati jalan itu tidak terlalu sunyi terutama pada waktu puncak kerana ia merupakan laluan utama penduduk kampung untuk pergi ke pusat bandar Gerik.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, remaja berkenaan telah datang membuat laporan semula kepada pihak polis bagi memperbetulkan ceritanya mengenai isu culik tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI