MELAKA – Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 yang bermula hari ini merupakan platform terbaik untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia menjangkakan kehadiran kira-kira 35.6 juta pelancong, sekali gus dapat menjana RM47.1 bilion sepanjang kempen tersebut.
Beliau berkata, dalam konteks pelancongan budaya ASEAN, Tahun Melawat Malaysia 2026 secara tidak langsung memberi peluang untuk memasarkan semua wilayah di rantau ini kepada pelancong.
“Saya ulangi komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dalam budaya dan seni, dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN serta dengan rakan dialog kami dari China, Jepun dan Korea,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian AMCA Ke-11, Mesyuarat Pegawai Kanan Ke-20 mengenai Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) serta Mesyuarat Berkaitan Rakan Dialog di Banda Hilir di sini, hari ini.
Seramai 10 menteri pelancongan dan kebudayaan dari negara anggota ASEAN hadir pada AMCA Ke-11 yang berlangsung selama tiga hari dan turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Him Hourn. – KOSMO! ONLINE