SEBERANG PERAI – Seorang kontraktor warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, minggu lalu.
Tertuduh, Alif Khan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia sebagai dorongan bagi membantu mengenyahkan namanya daripada senarai hitam Imigresen di pekarangan Hotel Cititel di Georgetown antara pukul 9.20 malam hingga 9.45 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zhen.
“Berdasarkan siasatan, tertuduh juga berkemungkinan terlibat dengan sindiket luar negara dan dikhuatiri akan melarikan diri ke negara asal atau negara lain.
“Tertuduh juga tidak ada tempat tinggal tetap dan menyewa di Bayan Lepas dan sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan, saya pohon wang jaminan paling tinggi ditetapkan beserta syarat tambahan,” katanya.
Peguam tertuduh kemudiannya memohon jaminan munasabah dikenakan susulan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE